Saturday, January 12, 2008

Batuk


Batuk adalah antara penyakit yang sering berlaku pada kita. Selalunya batuk akan hilang dengan sendirinya selepas lebih kurang seminggu. Bagaimanapun, oleh kerana sakit yang dideritai agak kuat, kebanyakan kita akan mencari ubat untuk melegakan batuk kita. Batuk juga kerap berlaku semasa kita selsema.

Sebenarnya, batuk adalah tindakbalas normal yang baik untuk kita. Tindakbalas ini dikenali sebagai tindakbalas refleks, di mana batuk berlaku secara automatik untuk melegakan rongga pernafasan yang tersekat atau terkena bahan-bahan irritant (penganggu).

Ada dua jenis batuk yang utama:

* batuk yang berkahak (productive cough)

* batuk yang tidak berkahak (non-productive cough atau unproductive cough)

Kedua-dua jenis batuk ini adalah berbeza dari segi sebab berlakunya dan juga ubatnya. Oleh itu adalah penting untuk anda mengenalpasti jenis batuk yang anda alami supaya ubat yang diberi memberikan kesan yang sepatutnya.

Pesakit asma (lelah) kerap mengalami batuk kerana saluran pernafasan mereka yang menjadi sempit. Bagi pesakit asma, pengambilan ubat asma yang diberikan adalah penting untuk melegakan batuknya.

Ada juga orang yang batuk kerana pengambilan ubat tertentu seperti Zestril dan Renitec (untuk darah tinggi). Dapatkan nasihat doktor anda untuk menukar dengan jenis ubat darah tinggi yang lain.


Batuk yang berkahak

Batuk yang berkahak selalunya bermula di bahagian dada. Warna kahak perlu dikenalpasti untuk mengetahui jenis batuk / penyakit yang dialami.

* Kahak yang putih atau jernih menunjukkan tidak ada penyakit-penyakit lain yang merbahaya.

* Kahak yang berwarna putih tetapi berbuih mungkin disebabkan oleh penyedutan asap rokok yang kronik (jangkamasa lama). Ia juga berlaku pada mereka yang menghidapi penyakit bronkitis.

* Kahak yang berwarna hijau atau coklat menunjukkan adanya jangkitan dalam paru-paru. Contoh batuk jenis ini ialah sakit bronkitis dan pneumonia (sukar bernafas, demam). Selalunya ia disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria.

* Kahak berdarah atau berwarna gelap seperti karat menunjukkan sesuatu yang lebih serius lagi. Ia mungkin disebabkan oleh kanser, batuk kering (TB), dsb. Segera dapatkan rawatan lanjut.

Untuk melegakan batuk berkahak, anda boleh mengambil ubat dari jenis expectorant (memecahkan kahak) seperti:

* guaifenesin (Breacol)
* carbocisteine (Rhinothiol)
* ambroxol (Mucosolvan)
* cyclidrol (Mucoflux)
* herba seperti Ibu dan Anak, Cofcare, dsb.

Ubat yang lebih kuat boleh didapati dari farmasi atau klinik. Selalunya ubat ini mengandungi anti-histamine iaitu sejenis ubat allergik yang boleh membantu mengeringkan kahak. Bagaimanapun ubat dari jenis ini boleh menyebabkan anda mengantuk, oleh itu tidak sesuai untuk yang berkerja. Antara jenama yang selalu diberi ialah Benadryl (original) dan pelbagai jenama generik seperti Bena, Bencodyl dsb. Sila lihat generik.htm. Jenama lain yang juga popular ialah Actifed Expectorant dan Rhinathiol Promethazine.

Sekiranya ada jangkitan kuman bakteria, anda perlu mengambil antibiotik. Sila buat pemeriksaan lanjut dengan doktor anda. Sila lihat artikel penting di antibiotik.htm.


Batuk tidak berkahak

Batuk yang tidak berkahak dirasakan kering, gatal dan perit yang berlaku di bahagian tekak. Batuk jenis ini selalunya disebabkan oleh jangkitan virus. Ia selalunya akan pulih tanpa pengambilan ubat dalam masa seminggu. Pengambilan antibiotik tidak boleh membantu pesakit batuk jenis ini.

Pengambilan ubat perlu untuk mengawal rasa pedih yang dirasai. Antara jenama yang popular ialah Cofcare. Jenama yang lebih kuat pula boleh didapati di farmasi atau klinik. Pastikan anda dapatkan penerangan yang lengkap sebelum mengambilnya. Ubat batuk jenis yang tidak bekahak yang lebih kuat ini (ubat ini dikenali sebagai anti-tussive) adalah seperti codeine, pholcodine, dextromethorphan dan clobutinol.

Dextromethorphan boleh didapati dalam bentuk sirap, pil dan juga gula-gula untuk dikemam. Ia adalah antara jenis yang popular dan jenama yang ada termasuklah Actifed DM, Sedilix DM, Cofdex (pil), Tussil (gula-gula) dsb. Jenama Duro-tuss pula mengandungi pholcodine dan ia sesuai untuk pesakit kencing manis kerana ia tidak mengandungi gula. Pholcodine tidaklah menyebabkan ketagihan seperti codeine. Jenama yang mengandungi codeine hendaklah dijauhi sekiranya boleh kerana ada alternatif lain seperti yang dinyatakan di atas. Codeine boleh menyebabkan ketagihan. (Tambahan: Mulai tahun 2003, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengarahkan pembuatan ubat batuk yang mengandungi kodein (codeine) diberhentikan.)

Kesemua ubat di atas mungkin menyebabkan pengambilnya mengantuk dan khayal (codeine). Ubat yang mengandungi clobutinol seperti Silomat tidak menyebabkan rasa mengantuk.

Sekiranya anda merasa sakit tekak yang teruk, ubat seperti Dequadin, Strepsil dsb. boleh membantu. Untuk yang lebih kuat lagi, dapatkan dari farmasi atau klinik, seperti Difflam dan Strepsil Dual Action.


Perkara-perkara lain

Selain daripada pengambilan ubat, anda boleh juga lakukan langkah-langkah berikut ini:

* minum air suam atau panas dengan banyak. Ia membantu memecahkan dan membuang kahak.

* pengambilan bahan-bahan yang menambah lendir seperti bahan tenusu, daging, makanan segera, gula dan makanan manis, tepung putih dsb hendaklah dikurangkan.

* sekiranya anda merokok, mungkin inilah masa yang sesuai untuk terus berhenti merokok.

* persekitaran yang berhabuk, berasap toksik dan sebagainya boleh menyebabkan batuk. Oleh itu cuba jauhkan diri anda dari kawasan ini.

* sedut stim contohnya dari air yang mendidih. Ia membantu menghilangkan hidung yang tersumbat.

* hembus dengan kuat untuk membuang kahak dan hingus.


Selain itu, perkara-perkara ini haruslah diperhatikan:

* ada sesetengah ubat batuk yang didapati di farmasi dan klinik mengandungi pseudoephedrine, yang boleh menambah tekanan darah. Orang yang ada tekanan darah tinggi tidak digalakkan mengambil ubat jenis ini. Dapatkan penerangan lanjut dari farmasi atau klinik.

* kebanyakan persediaan adalah dalam bentuk sirap dan ia mengandungi gula. Pesakit kencing manis harus mengelakkan pengambilannya sekiranya boleh.

* sekiranya batuk anda tidak baik dalam masa seminggu, atau ada tanda-tanda yang lebih serius seperti batuk berdarah, rawatan lanjut diperlukan.

* batuk yang berlaku pada waktu malam sahaja (semasa baring sahaja) mungkin disebabkan oleh penyakit lain. Dapatkan rawatan selanjutnya.

Sumber: Farmasi Anis

Read More......

Bolehkah Pesakit Kanser Sembuh?


Reaksi orang terhadap pesakit kanser adalah berbeza. Ada yang terlalu takut kepada penyakit kanser, ada yang biasa sahaja dan ada juga yang tidak kisah terhadap penyakit kanser. Ada sesetengah orang pula mengalami ketakutan atau fobia kanser. Ini merupakan suatu keadaan di mana seseorang itu sentiasa bimbang dan terganggu fikirannya; mungkinkah dia diserang penyakit kanser apabila timbul sesuatu tanda di badannya! Orang seperti ini sering menemui doktor jika timbul apa-apa masalah walaupun remeh-temeh dan fikirannya sentiasa terganggu oleh sebab ketakutan terhadap penyakit kanser.

Walaupun kita mesti berwaspada terhadap kemungkinan penyakit kanser, khususnya mereka dalam golongan berisiko sama ada dari segi umur, terdedah terhadap bahan-bahan yang mungkin karsinogenik seperti tabiat merokok, pendedahan terhadap bahan kimia, pancaran X-ray dan sebagainya, namun kita tidak perlulah sentiasa hidup dalam ketakutan hingga jiwa kita tidak tenteram. Sebaiknya, kita mengambil langkah berjaga-jaga dan terdapat ujian-ujian penapisan seperti X-ray, ujian sel pangkal rahim (pap smear), ujian darah atau sebagainya yang boleh mengesan kanser sebelum ada tanda kita patut mengambil langkah-langkah yang sewajar.
Tanda-Tanda Penyakit Kanser

1. Bagi wanita yang mengalami pendarahan selepas persetubuhan, pendarahan haid yang tidak tentu masa, keluar darah haid selepas putus haid, keluar keputihan dari kemaluan, perut kembung, bengkak kaki khususnya jika di sebelah sahaja, susut badan, tidak ada selera makan, bonggol atau ketumbuhan pada buah dada, keluar darah atau susu daripada puting buah dada walaupun tidak menyusukan dan kesakitan pada buah dada.

2. Bagi kanser paru-paru pula, tanda-tandanya ialah batuk yang tidak boleh dikawal dengan ubat biasa, batuk darah dan sesak nafas. Pada bahagian tekak pula, hidung berdarah atau muntah darah.

3. Bagi kanser dalam perut dan tali usus, antara tanda-tandanya ialah muntah darah, berak darah, sakit perut dan muntah-muntah yang tidak boleh dikawal. Bagi kanser pada buah pinggang dan saluran perkencingan, antara tanda-tandanya ialah kencing berdarah, sering hendak kencing dan sukar untuk membuang air kencing.

4. Antara tanda-tanda kanser pada bahagian otak pula ialah sakit kepala, pening kepala yang biasanya tidak boleh diubat dengan ubat penawar sakit biasa. Manakala tanda-tanda bagi kanser tulang dan sendi ialah bengkak tulang atau sendi. Tanda-tanda bagi kanser sistem pendarahan ialah muka pucat, letih-lesu, mudah berdarah jika terkena luka dan sukar hendak tos darahnya serta demam yang tidak dapat dikesan puncanya.


Pengesahan Penyakit Kanser

Pengesahan penyakit kanser biasanya dilakukan secara ujian tisu yang diambil daripada kawasan yang disyaki mengidap kanser (Biopsy) dan seterusnya dikaji di makmal kaji sel (hispatologi). Biasanya, di sinilah sel-sel kanser dapat dipasti dan disahkan. Walaupun demikian, ujian-ujian lain boleh menolong dalam membuat pengesahan kanser seperti ujian Ultrasound, X-ray, skaning MRI, Cat dan lain-lain.

Kaedah Rawatan Kanser

Satu perkara yang sangat penting dalam menentukan kejayaan rawatan kanser ialah peringkat ketumbuhan kanser tersebut, sama ada ia masih terhad pada satu bahagian tubuh badan ataupun telah merebak ke kawasan persekitaran atau telah merebak jauh melalui saluran darah ke organ-organ penting seperti paru-paru, otak, hati, tulang dan sebagainya. Di peringkat awal, sebelum ketumbuhan kanser dapat merebak, rawatan yang tepat akan memberi hasil yang memuaskan, malah ia mungkin boleh pulih seperti sediakala. Tetapi, apabila kanser telah merebak jauh, kesan rawatan mungkin tidak begitu memuaskan dan pertumbuhan kanser mungkin sukar dikawal.

Satu lagi perkara yang sangat penting dalam menentukan kejayaan kanser ialah jenis sel kanser itu dan di bahagian mana kanser itu berlaku. Pelbagai jenis kanser boleh tumbuh dalam badan kita. Jika bentuk sel kanser itu amat luar biasa (anaplastik) maka kemungkinan sel itu membiak dengan cepat dan merebak luas dan ini akan menimbulkan masalah rawatan. Sesetengah sel-sel kanser pula kebal walaupun diberi rawatan dengan ubat-ubat kemoterapi atau dengan rawatan radioterapi. Dalam keadaan begini, hasil rawatan dari pemulihan tidak begitu memuaskan.

Sesetengah penyakit kanser mengeluarkan tanda di peringkat awal lagi, misalnya kanser pangkal rahim di kalangan wanita. Biasanya, sebelum menjadi kanser, sel-sel pada pangkal rahim menjalani beberapa peringkat perubahan, iaitu daripada sel normal kepada sel luar biasa. Kemudian ia menjadi kanser di peringkat awal dan seterusnya kanser membiak Lagipun, kanser pangkal rahim pada wanita boleh dikesan sebelum ia mencapai ke peringkat kanser dengan ujian pap smear. Dengan ini, ia mungkin boleh dicegah daripada menjadi kanser. Dan jika ia telah menjadi kanser, dan dapat dikesan di peringkat awal, ia boleh dirawat sepenuhnya. Tetapi, kanser di dalam perut seperti kanser usus besar, perut, hati ataupun kilang ovari, kadang-kadang menimbulkan tanda yang agak lewat dan apabila tanda-tanda itu timbul, keadaannya telah tenat dan sel-sel kanser telah merebak. Dalam keadaan demikian, rawatan secara pembedahan dan rawatan dengan kaedah yang lain mungkin tidak akan memberi kesan pemulihan yang seratus-peratus baik.

Konsep Pembinasaan Sel Kanser Secara Spontan Pernah kita mendengar cerita orang yang telah disahkan menghidap kanser dan setelah dirawat doktor itu mengatakan keadaan kansernya amat berat dan dia diberi tempoh hidup selama enam bulan atau setahun. Kemudian selepas tempoh tersebut, pesakit itu masih hidup lagi, malah dia lebih sihat daripada sebelum terkena kanser. Ini adalah di antara cerita-cerita yang kita pernah dengar. Pesakit-pesakit yang telah hampa dengan rawatan moden telah pergi berjumpa dengan perawat-perawat tradisional yang memberi bermacam-macam cara rawatan, mungkin secara jampi, atau secara rawatan tradisional seperti jamu, akar kayu, ubat sinseh dan sebagainya. Kita juga telah mendengar kisah seorang pengidap kanser, iaitu Jason Winters yang pernah menghidap penyakit kanser dan telah tempoh hidup enam bulan tetapi dia terus hidup dengan menggunakan ubat-ubatan tradisional daripada berbagai-bagai ramuan akar kayu dan beliau telah mengolah satu ramuan yang dinamakan “Teh Jason Winters” yang beliau percaya boleh mengubati pelbagai penyakit kanser.

Dalam keadaan cemas dan genting seperti ini, manusia akan menggunakan bermacam-macam cara dan kaedah untuk mengatasi masalah dan apabila rakan, teman atau saudara memberi cadangan tentang rawatan yang berkesan, mereka akan terus mencubanya. Walaupun kadang-kala kita tidak mengetahui logik atau asas saintifiknya, memang tidak boleh disangkal, bahawa ramuan-ramuan dalam akar kayu atau ubat-ubatan tradisional mungkin mempunyai kesan yang boleh membinasakan sel-sel kanser. Setakat ini belum banyak kajian yang telah dilakukan ke atas ramuan ubat-ubatan tradisional dan ubat akar kayu ke atas pelbagai jenis penyakit termasuk juga kanser.

Pakar-pakar perubatan memang mengakui, bahawa sel-sel kanser pun boleh binasa dengan sendirinya, iaitu dalam proses yang dinamakan regresi spontan. Ini semua adalah dalam penguasaan Allah dan sebagai manusia kita hanya berdoa dan mengharapkan agar penyakit yang dihidapi sembuh

Prinsip-Prinsip Rawatan Bagi Penyakit Kanser

Beberapa kaedah moden telah digunakan untuk merawat penyakit kanser. Antaranya ialah:

1. Pembedahan

2. Ubat kemoterapi

3. Radioterapi

Pembedahan
Kadang-kala kanser hanya perlu dibedah sahaja tanpa rawatan yang lain. Tetapi ada kalanya, kita melakukan pembedahan ke atas ketumbuhan kanser kemudian diikuti dengan rawatan secara kemoterapi atau radioterapi. Ada sesetengah kanser pula boleh dirawat secara radioterapi sahaja seperti kanser pangkal rahim ataupun kanser tekak jika kanser tersebut masih di peringkat awal lagi.

Pembedahan bagi kanser adalah dianggap sebagai satu pembedahan yang besar dan kadang-kala melibatkan pembuangan anggota terpenting. Contohnya, jika kanser itu melibatkan pangkal rahim maka keseluruhan rahim akan dibuang. Bagi kanser buah dada pula keseluruhan buah dada perlu dibuang termasuk sistem kelenjar di sekelilingnya. Jika kanser melibatkan tulang kaki, mungkin kaki tersebut perlu dipotong, dan jika melibatkan paru-paru kemungkinan satu paru-paru perlu dibuang. Begitulah keadaannya jika ia melibatkan lain-lain bahagian dalam badan. Biasanya, pembedahan untuk penyakit kanser memerlukan kepakaran pembedah yang mahir, dan pembedahan biasanya disertai dengan pendarahan. Oleh itu, bekalan darah mestilah cukup.

Waktu pemulihan selepas pembedahan mungkin lama jika ia melibatkan pembuangan anggota penting dalam tubuh. Kadang-kala ia melibatkan pembedahan untuk membaik-pulih atau reconstructive surgery. Misalnya, pembedahan pada muka yang disebabkan oleh kanser pada tulang dagu.

Semua bahagian tubuh yang telah dibedah perlu dihantar ke makmal kaji sel untuk dikaji setakat mana dan apa jenis kanser yang telah dihidapi pesakit. Jika sel-sel kanser telah merebak melalui saluran darah ataupun saluran kelenjar ke bahagian tubuh yang lain, maka pembedahan tidak dapat mengatasi masalah secara keseluruhan. Kaedah rawatan lain perlu diberikan seperti kemoterapi atau radioterapi. Sekarang ini, para pakar penyelidik penyakit kanser telah cuba berbagai-bagai teknik untuk mengesan sejauh manakah sel-sel kanser telah merebak ke organ-organ terpenting dalam tubuh seperti otak, paru-paru, hati, tulang dan sebagainya. Dengan ini, rawatan lanjutan dapat diberikan dengan sewajarnya

Kemoterapi
Sesetengah penyakit kanser seperti kanser darah (leukimia), dan kanser rahim yang dinamakan choricarcinoma biasanya tidak memerlukan rawatan secara pembedahan, tetapi ia boleh dirawat dengan ubat-ubatan atau kemoterapi. Kegunaan ubat-ubat kemoterapi sebagai perawat kanser utama, hanya terhad kepada beberapa jenis kanser sahaja dan sesetengahnya telah saya nyatakan di atas. Tetapi, ubat-ubat kemoterapi sering digunakan sebagai cara rawatan lanjutan selepas seseorang itu dibedah akibat daripada kanser yang dihidapi dan setelah dipastikan kanser itu telah merebak ke tubuh yang lain.

Terdapat banyak jenis ubat-ubat kemoterapi yang biasanya diberikan secara suntikan atau secara ubat tablet. Di negara kita ini, Institut Barah Kuala Lumpur banyak memberikan rawatan ke atas penyakit kanser. Rawatan ini memerlukan pengawasan yang rapi kerana ubat-ubat kemoterapi ini bukan sahaja membinasakan sel-sel kanser, tetapi ia juga boleh merosakkan sel-sel normal.

Kesan sampingan ini boleh menimbulkan beberapa masalah kepada seseorang yang sedang mendapat rawatan kemoterapi, misalnya ia boleh menindas pertumbuhan sel-sel darah menyebabkan penghidap mengalami kekurangan dan juga sel-sel darah putih untuk melawan penyakit, menyebabkan pesakit mudah diserang penyakit, khususnya kuman. Kadang-kala, pesakit mengalami masalah rambut gugur ketika menjalani rawatan kemoterapi, bibir mungkin pecah terkena ulser. Inilah di antara beberapa kesan sampingan, tetapi dengan pengawasan dan rawatan daripada doktor yang mahir dalam bidang ini, masalah ini, Insya-Allah akan dapat dikawal. Rawatan dengan kemoterapi kadang-kala perlu diulang setelah satu atau dua bulan kemudian, dan khususnya jika doktor yang merawat itu mendapati ada tanda-tanda bahawa penyakit kanser itu masih aktif lagi

Rawatan Dengan Radioterapi
Ini adalah satu kaedah rawatan yang penting bagi penyakit kanser. Pelbagai jenis radiasi telah digunakan dan kaedah rawatan ini boleh didapati daripada Institut Barah di Hospital Besar Kuala Lumpur untuk mengatasi pelbagai jenis penyakit kanser. Pesakit perlu dimasukkan ke hospital dan rawatan boleh dilakukan secara pancaran dari luar ataupun pancaran daripada logam radium yang dimasukkan ke dalam bahagian tubuh badan. Misalnya, dalam kes kanser pangkal rahim, rawatan secara radiasi adalah pilihan utama. Dalam kaedah rawatan ini, logam radium radioaktif dimasukkan ke dalam rahim untuk beberapa hari dengan tujuan supaya logam ini akan mengeluarkan bahang radiasi dan membinasakan sel-sel kanser. Di samping ia membinasakan sel-sel kanser, bahang radiasi juga boleh membinasakan sel-sel yang normal. Misalnya, dalam rawatan kanser pangkal rahim, sel-sel normal (kilang telur atau ovari) boleh juga musnah dan ini menyebabkan kehabisan hormon estrogen bagi wanita tersebut selepas rawatan. Kesan kehabisan hormon estrogen pada wanita ialah seperti kaedah putus haid.

Di antara kesan sampingan yang mungkin timbul akibat daripada rawatan radioterapi ialah kesan bakar pada kulit yang mungkin berwarna kehitaman sedikit. Tetapi dengan teknik rawatan baru, kesan sampingannya dapat dikurangkan. Kadang-kala, organ-organ lain di sekeliling ketumbuhan kanser boleh terganggu akibat daripada pancaran X-ray, misalnya seseorang pesakit yang sedang mendapat rawatan radioterapi bagi kanser pangkal rahim. Kadangkala pundi-pundi air kencing dan saluran najis akan mengalami kerosakan sedikit menyebabkan gangguan sementara dalam fungsi organ tersebut.

Perubatan alternatif
Terdapat terlalu banyak keadah-kaedah perubatan alternatif atau pilihan lain, samaada di pasaran tempatan atau luar negara untuk mengubati penyakit kanser. Pada asasnya saya bersetuju dengan kegunaan ubatan alternatif tetapi dengan syarat pesakit-pesakit perlu menjalani rawatan perubatan moden dahulu. Perubatan alternatif digunakan sebagai rawatan tambahan atau sokongan khususnya dalam kes-kes di mana rawatan moden kurang berkesan.

Dalam internet terdapat banyak laman-laman berkenaan perubatan alternatif. Baca dan nilailah dengan teliti sebelum membuat apa-apa keputusan untuk mendapatkan rawatan alternatif. Ada kalanya rawatan-rawatan tersebut berkesan dan ada kalanya tidak. Kita berusaha dan bertawakkal kepada Allah swt.
RUMUSAN:

Walaupun ada hadis-hadis Nabi yang bermaksud, “bahawa setiap penyakit ada ubatnya”, namun masih banyak lagi kaedah rawatan yang belum kita ketahui. Apa yang kita ketahui hanya sedikit sahaja, Allah yang Maha Mengetahui. Walaupun demikian, kita sebagai pesakit perlulah berusaha mencari di mana sahaja kita ketahui ada kaedah rawatan yang berkesan, khususnya rawatan yang berasaskan sains perubatan moden. Di samping itu, kita juga berdoa pada Allah S.W.T dengan insaf atas musibah yang menimpa diri kita. Kita patut banyak bersabar dan banyak bertasbih. Mungkin ini satu cubaan untuk menguji kesabaran kita, mungkin juga satu balasan bagi kesalahan yang telah kita lakukan di masa lepas. Yang pentingnya ialah kita percaya, bahawa penyakit kanser adalah satu perkara yang diturunkan oleh Tuhan. Tentulah ada sebabnya, hanya kita sahaja tidak mengetahui apa puncanya. Perbanyakanlah berzikir dan bertafakur sambil memuji kebesaran Allah. Dengan bersabar menanggung kesakitan, kita akan mendapat pahala. Rawatan yang berlebihan boleh mempercepatkan maut. Saya sendiri pernah melihat pengidap kanser diberi rawatan secara pembedahan diikuti dengan rawatan kemoterapi serta radioterapi atas keghairahan saudara-mara atau doktor yang merawat. Perbuatan ini boleh memberi kesan yang tidak begitu baik kerana seperti yang saya nyatakan di atas, bahawa kaedah-kaedah rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi boleh juga merosakkan sel-sel yang normal dan seterusnya mengganggu dan menjejaskan fungsi-fungsi organ tubuh badan yang lain. Rawatan yang berlebihan (overdose) boleh mempercepatkan maut seseorang penghidap kanser.
Satu perkara yang amat penting dalam rawatan penyakit kanser ialah pengesanan diperingkat awal. Oleh itu, kita perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengesan penyakit tersebut di peringkat awal supaya apa juakaedah rawatan yang diberikan boleh membaikpulih pesakit.

Sumber: Hamid Arshat Pakar Sakit Puan

Read More......

Barah Paru-paru


Barah paru-paru adalah pembunuh no 1 manusia yang meningkat dari setahun ke setahun. Ini kerana paru-paru merupakan organ pada sistem pernafasan dan berhubungan dengan sistem peredaran darah. Ia berfungsi untuk menukar oksigen dari udara dengan karbon dioksida dari darah. barah tejadi apabila sel di bahagian paru-paru muncul pada bahagian organ paru-paru. Barah paru-paru boleh dikelaskan kepada 2 bahagian iaitu:-

* karsinoma sel kecil - ia berkait rapat dengan menghisap rokok. Malangnya, ia merebak awal dan menyebabkan sedikit sahaja gejala-gejala awal, dan akibatnya, kes ini lambat didiagnosiskan.

* karsinoma sel bukan kecil - ia termasuk dalam karsinoma sel skuamus, adekarsinoma, karsinoma se besar, karsinoma sel bronkiol dan mesotelioma.

Faktor Risiko Mendapat barah Paru-paru

* Merokok mahupun pendedahan pada asap rokok .- mereka yang menghisap rokok lebih mudah mendapat barah paru-paru di bandingkan dengan mereka yang menghisap cerut atau paip

* Pendedahan pada bahan kimia. - Pendedahan pada bahan kimia seperti bahan kimia perindustrian boleh juga mambawa kepada penyakit barah paru-paru.

* Selain itu, faktor ganetik juga boleh mempengaruhi penyakit ini.


Simptom barah Paru-paru

Tanda-tanda awal yang menunjukan seseorang itu berkemungkinan akan menghidap penyakit barah paru-paru ialah:-

* Batuk berdarah
* Batuk berpanjangan (tidak sembuh)
* Jangkitan pada paru-paru dan saluran pernafasan
* Suara menjadi kasar
* badan menjadi lesu dan susut berat badan
* sakit pada bahagian tulang dan tulang belakang.

Untuk langkah pencegahan, anda digalakkan berhenti menghisap rokok kerana ia dapat mengurangkan risiko untuk mendapat barah paru-paru selepas 10 tahun akan datang.
Punca barah Paru-paru

Menurut kajian tabiat merokok merupakan salah satu punca terjadinya barah paru-paru. Kebanyakkan pesakit barah paru-paru adalah dari penghisap rokok. Selain itu, pendedahan kepada radiasi dan pendedahan pada bahan kimia juga turut meyumbang dalam penyakit barah paru-paru ini. Pencemaran atmosfera juga tidak terlepas pandang dari salah satu punca barah paru-paru. Dan yang terakhir ialah di sebabkan oleh makanan yang mengandungi lemak tepu.

Sumber: The Tole Acupuncture

Read More......

Kanser boleh dirawat di peringkat awal


PENYAKIT pembunuh utama dunia yang paling ditakuti hingga kini kerana masih belum ada penawarnya ialah penyakit kanser.

Kanser atau barah adalah penyakit ketumbuhan paling ganas serta mudah merebak, ia amat berbahaya menyerang organ-organ manusia tanpa mengira peringkat umur dan menunjukkan tanda-tanda awal.

Demikian menurut Pakar Perunding Perubatan dan Respiratori, salah sebuah hospital swasta, Dr. Abdul Wahab Sufarlan.

Katanya, kanser terbentuk akibat pertumbuhan sel yang tidak terkawal dan merosakkan organ-organ sekeliling yang kemudiannya boleh merebak ke dalam tubuh serta sekeliling struktur tubuh.

Beliau menjelaskan, apabila sel-sel kanser ini merebak ke seluruh tubuh ia akan merosakkan struktur tubuh, organ-organ dan fungsi organ yang penting dalam tubuh.

Selain itu katanya, faktor genetik yang dikenali sebagai oncogen di dalam tubuh seseorang itu sejak lahir bekerjasama dengan faktor-faktor luaran menyebabkan seseorang itu mempunyai risiko yang tinggi menghidapi kanser.

Menyentuh mengenai faktor-faktor terjadinya kanser katanya, "Bahan-bahan radioaktif seperti bom nuklear, bahan ujikaji, bahan toksik seperti raksa, plumbum dan arsenik antara punca penyebab berlakunya kanser,'' jelasnya.

Tambahnya lagi, antara faktor-faktor lain ialah:

* Suka menghisap rokok
* Ketidakseimbangan hormon dalam badan
* Jangkitan kuman dan virus seperti HIV dan hepatitis B.

Beliau memberitahu, kanser boleh dikategorikan kepada beberapa jenis yang terjadi pada organ-organ tentu pada bahagian tubuh seperti:

* Kanser otak
* Kanser paru-paru
* Kanser buah pinggang
* Kanser hati
* Kanser usus
* Kanser buah dada
* Kanser tulang
* Kanser tiroid
* Kanser pangkal rahim dan lain-lain lagi.

Jelasnya lagi, kanser menyerang pada bahagian organ-organ penting dalam badan kerana apabila organ-organ penting ini terkena kanser akhirnya membawa maut.

"Contohnya, kanser paru-paru apabila seseorang itu tidak boleh bernafas ia akan membawa maut, begitu juga kanser hati apabila tidak berfungsi dan tersumbat maka mangsa akan menemui maut," katanya.

Sebelum seseorang itu menemui maut, selain mengalami kesakitan yang amat, penghidap juga terpaksa menempuh penderitaan berpanjangan dalam hidupnya.

Ini kerana peranan organ dalam tubuhnya sudah kehilangan fungsi asas yang sepatutnya.

Beliau menambah, tanda-tanda awal seseorang itu diserang kanser juga bergantung kepada jenis kanser yang dihidapinya.

"Seperti kanser rahim, seorang wanita akan mengalami pendarahan di antara haid atau selepas melakukan persetubuhan," jelasnya. Hakikatnya, tanda berdarah itu adalah tanda mula dikenali bahawa seseorang itu menghidapi kanser dan bukan tanda kanser baru bermula.

Oleh kerana kebiasaannya tanda-tanda yang ditunjukkan oleh penyakit kanser agak lewat, proses mengesan kanser haruslah dilakukan seawal mungkin bagi mengelakkan sebarang komplikasi yang tidak diingini.

Begitu juga dengan kanser buah dada, di mana terdapat benjolan pada bahagian-bahagian tertentu, manakala kanser paru-paru seseorang itu akan mengalami batuk berdarah yang berpanjangan.

Rasa senak perut selepas makan serta hilang selera makan berkemungkinan bahawa seseorang itu menghidapi kanser perut atau usus.

"Bagi kanser otak pula, seseorang itu akan mengalami sakit kepala dan hilang fungsi saraf dan lumpuh setengah anggota-anggota badan," katanya.

Jika mengalami hidung tersumbat, benjolan pada bahagian kelenjar, leher dan hidung berdarah seseorang itu perlu mengenal pasti sama ada dia menghidapi kanser tenggorok dan hidung.

Bagaimanapun, harus diingat bahawa pemeriksaan awal perlu dijalankan bagi memastikan jenis penyakit yang dialami. Beliau menjelaskan, kanser dikatakan pembunuh utama kerana ia tidak dapat diubati kecuali pada peringkat awal.

"Terutamanya apabila ia telah merebak ke seluruh sel-sel badan, kanser pada waktu itu amat parah dan tidak dapat diubati lagi.

"Bagi kanser, selain tiada ubat khas yang boleh menyembuhkannya, kebanyakan kanser tidak dapat dirawat dengan sempurna, malahan ia kekal dan laporan mengenainya semakin meningkat," katanya.

Beliau menambah, umur yang meningkat antara faktor meningkatnya kes-kes kanser.

"Jangka hayat seseorang yang semakin panjang menyebabkan bilangan mereka yang terkena kanser juga turut bertambah," katanya lagi.

Sumber: Akhbar Health

Read More......

Kanser Paru-Paru


Insidens

Kanser paru-paru merupakan kanser yang paling kerap berlaku dan telah menyebabkan jumlah kematian yang paling ramai di Malaysia. Ia menyumbangkan lebih kurang 12% dari kesemua penyakit kanser dalam negara. Lebih kurang 18 daripada 100,000 penduduk mati disebabkan kanser ini. Setiap tahun lebih kurang 7000 kes baru kanser paru-paru dikesan.

Fakta-fakta mengenai Kanser Paru-Paru:

* Merupakan kanser yang paling kerap terjadi di seluruh dunia

*Kanser yang paling kerap terjadi di kalangan kaum lelaki di kebanyakan negara

* Kemandirian atau survival terhadap kanser paru-paru adalah buruk (hampir 10% dalam 5 tahun)

* Kanser paru-paru merupakan salah satu dari kesan-kesan utama yang disebabkan oleh rokok.

* Terdapat peningkatan insidens kanser paru-paru. Di Barat, insidens kanser paru-paru di kalangan wanita semakin meningkat kerana lebih ramai kaum wanita yang merokok, sebaliknya insidens di kalangan lelaki semakin menurun.

Tanda - tanda dan gejala

Gejala yang dialami adalah berbeza-beza. Ia bergantung sama ada tahap penyakit itu telah merebak ke tempat lain di dalam badan ataupun tidak. Kanser paru-paru boleh jadi asimptomatik (tanpa simptom yang jelas) terutamanya di peringkat awal penyakit. Ini menyukarkan usaha untuk mengesan lebih awal. Ia mungkin boleh dikesan secara tidak sengaja sewaktu pemeriksaan rutin apabila X-ray dilakukan. Di antara gejala yang utama adalah :

* Batuk
Batuk yang dialami biasanya adalah kronik dan kering. Kahak yang terhasil mungkin berdarah sedikit.

* Kesesakan nafas
Ini mungkin disebabkan oleh lumen bronkus tersumbat menyebabkan paru-paru rebah (collapse) atau tumor tersebut menekan saluran udara menjadikannya lebih sempit. Biasanya cecair boleh terbentuk di kaviti dada (efusi pleura) dan menyebabkan tekanan ke atas paru-paru.

* Sakit
Sakit dada, bahu dan sakit belakang disebabkan oleh tumor yang merebak ke tulang dan tisu berdekatan

* Bengkak muka
Disebabkan tumor menekan vena yang membekalkan darah ke bahagian dada

* Suara garau
Disebabkan saraf di kawasan dada ditekan dan menyebabkan kelumpuhan pada saraf laringeal

* Apabila kanser paru-paru telah merebak ke organ-organ yang lain, ia boleh menyebabkan:
o Sakit tulang
o Lemah atau kebas di kawasan tangan dan kaki
o Pening kepala
o Jaundis (warna kuning di kulit dan mata)
o Kehadiran jisim di kawasan berdekatan dengan permukaan tubuh yang disebabkan oleh sel-sel kanser telah merebak ke nodus limfa di leher atau berdekatan dengan tulang selangka.

Sumber: http://www.infosihat.gov.my/

Read More......