Saturday, January 12, 2008

Kanser boleh dirawat di peringkat awal


PENYAKIT pembunuh utama dunia yang paling ditakuti hingga kini kerana masih belum ada penawarnya ialah penyakit kanser.

Kanser atau barah adalah penyakit ketumbuhan paling ganas serta mudah merebak, ia amat berbahaya menyerang organ-organ manusia tanpa mengira peringkat umur dan menunjukkan tanda-tanda awal.

Demikian menurut Pakar Perunding Perubatan dan Respiratori, salah sebuah hospital swasta, Dr. Abdul Wahab Sufarlan.

Katanya, kanser terbentuk akibat pertumbuhan sel yang tidak terkawal dan merosakkan organ-organ sekeliling yang kemudiannya boleh merebak ke dalam tubuh serta sekeliling struktur tubuh.

Beliau menjelaskan, apabila sel-sel kanser ini merebak ke seluruh tubuh ia akan merosakkan struktur tubuh, organ-organ dan fungsi organ yang penting dalam tubuh.

Selain itu katanya, faktor genetik yang dikenali sebagai oncogen di dalam tubuh seseorang itu sejak lahir bekerjasama dengan faktor-faktor luaran menyebabkan seseorang itu mempunyai risiko yang tinggi menghidapi kanser.

Menyentuh mengenai faktor-faktor terjadinya kanser katanya, "Bahan-bahan radioaktif seperti bom nuklear, bahan ujikaji, bahan toksik seperti raksa, plumbum dan arsenik antara punca penyebab berlakunya kanser,'' jelasnya.

Tambahnya lagi, antara faktor-faktor lain ialah:

* Suka menghisap rokok
* Ketidakseimbangan hormon dalam badan
* Jangkitan kuman dan virus seperti HIV dan hepatitis B.

Beliau memberitahu, kanser boleh dikategorikan kepada beberapa jenis yang terjadi pada organ-organ tentu pada bahagian tubuh seperti:

* Kanser otak
* Kanser paru-paru
* Kanser buah pinggang
* Kanser hati
* Kanser usus
* Kanser buah dada
* Kanser tulang
* Kanser tiroid
* Kanser pangkal rahim dan lain-lain lagi.

Jelasnya lagi, kanser menyerang pada bahagian organ-organ penting dalam badan kerana apabila organ-organ penting ini terkena kanser akhirnya membawa maut.

"Contohnya, kanser paru-paru apabila seseorang itu tidak boleh bernafas ia akan membawa maut, begitu juga kanser hati apabila tidak berfungsi dan tersumbat maka mangsa akan menemui maut," katanya.

Sebelum seseorang itu menemui maut, selain mengalami kesakitan yang amat, penghidap juga terpaksa menempuh penderitaan berpanjangan dalam hidupnya.

Ini kerana peranan organ dalam tubuhnya sudah kehilangan fungsi asas yang sepatutnya.

Beliau menambah, tanda-tanda awal seseorang itu diserang kanser juga bergantung kepada jenis kanser yang dihidapinya.

"Seperti kanser rahim, seorang wanita akan mengalami pendarahan di antara haid atau selepas melakukan persetubuhan," jelasnya. Hakikatnya, tanda berdarah itu adalah tanda mula dikenali bahawa seseorang itu menghidapi kanser dan bukan tanda kanser baru bermula.

Oleh kerana kebiasaannya tanda-tanda yang ditunjukkan oleh penyakit kanser agak lewat, proses mengesan kanser haruslah dilakukan seawal mungkin bagi mengelakkan sebarang komplikasi yang tidak diingini.

Begitu juga dengan kanser buah dada, di mana terdapat benjolan pada bahagian-bahagian tertentu, manakala kanser paru-paru seseorang itu akan mengalami batuk berdarah yang berpanjangan.

Rasa senak perut selepas makan serta hilang selera makan berkemungkinan bahawa seseorang itu menghidapi kanser perut atau usus.

"Bagi kanser otak pula, seseorang itu akan mengalami sakit kepala dan hilang fungsi saraf dan lumpuh setengah anggota-anggota badan," katanya.

Jika mengalami hidung tersumbat, benjolan pada bahagian kelenjar, leher dan hidung berdarah seseorang itu perlu mengenal pasti sama ada dia menghidapi kanser tenggorok dan hidung.

Bagaimanapun, harus diingat bahawa pemeriksaan awal perlu dijalankan bagi memastikan jenis penyakit yang dialami. Beliau menjelaskan, kanser dikatakan pembunuh utama kerana ia tidak dapat diubati kecuali pada peringkat awal.

"Terutamanya apabila ia telah merebak ke seluruh sel-sel badan, kanser pada waktu itu amat parah dan tidak dapat diubati lagi.

"Bagi kanser, selain tiada ubat khas yang boleh menyembuhkannya, kebanyakan kanser tidak dapat dirawat dengan sempurna, malahan ia kekal dan laporan mengenainya semakin meningkat," katanya.

Beliau menambah, umur yang meningkat antara faktor meningkatnya kes-kes kanser.

"Jangka hayat seseorang yang semakin panjang menyebabkan bilangan mereka yang terkena kanser juga turut bertambah," katanya lagi.

Sumber: Akhbar Health

0 comments: