Saturday, January 12, 2008

Batuk


Batuk adalah antara penyakit yang sering berlaku pada kita. Selalunya batuk akan hilang dengan sendirinya selepas lebih kurang seminggu. Bagaimanapun, oleh kerana sakit yang dideritai agak kuat, kebanyakan kita akan mencari ubat untuk melegakan batuk kita. Batuk juga kerap berlaku semasa kita selsema.

Sebenarnya, batuk adalah tindakbalas normal yang baik untuk kita. Tindakbalas ini dikenali sebagai tindakbalas refleks, di mana batuk berlaku secara automatik untuk melegakan rongga pernafasan yang tersekat atau terkena bahan-bahan irritant (penganggu).

Ada dua jenis batuk yang utama:

* batuk yang berkahak (productive cough)

* batuk yang tidak berkahak (non-productive cough atau unproductive cough)

Kedua-dua jenis batuk ini adalah berbeza dari segi sebab berlakunya dan juga ubatnya. Oleh itu adalah penting untuk anda mengenalpasti jenis batuk yang anda alami supaya ubat yang diberi memberikan kesan yang sepatutnya.

Pesakit asma (lelah) kerap mengalami batuk kerana saluran pernafasan mereka yang menjadi sempit. Bagi pesakit asma, pengambilan ubat asma yang diberikan adalah penting untuk melegakan batuknya.

Ada juga orang yang batuk kerana pengambilan ubat tertentu seperti Zestril dan Renitec (untuk darah tinggi). Dapatkan nasihat doktor anda untuk menukar dengan jenis ubat darah tinggi yang lain.


Batuk yang berkahak

Batuk yang berkahak selalunya bermula di bahagian dada. Warna kahak perlu dikenalpasti untuk mengetahui jenis batuk / penyakit yang dialami.

* Kahak yang putih atau jernih menunjukkan tidak ada penyakit-penyakit lain yang merbahaya.

* Kahak yang berwarna putih tetapi berbuih mungkin disebabkan oleh penyedutan asap rokok yang kronik (jangkamasa lama). Ia juga berlaku pada mereka yang menghidapi penyakit bronkitis.

* Kahak yang berwarna hijau atau coklat menunjukkan adanya jangkitan dalam paru-paru. Contoh batuk jenis ini ialah sakit bronkitis dan pneumonia (sukar bernafas, demam). Selalunya ia disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria.

* Kahak berdarah atau berwarna gelap seperti karat menunjukkan sesuatu yang lebih serius lagi. Ia mungkin disebabkan oleh kanser, batuk kering (TB), dsb. Segera dapatkan rawatan lanjut.

Untuk melegakan batuk berkahak, anda boleh mengambil ubat dari jenis expectorant (memecahkan kahak) seperti:

* guaifenesin (Breacol)
* carbocisteine (Rhinothiol)
* ambroxol (Mucosolvan)
* cyclidrol (Mucoflux)
* herba seperti Ibu dan Anak, Cofcare, dsb.

Ubat yang lebih kuat boleh didapati dari farmasi atau klinik. Selalunya ubat ini mengandungi anti-histamine iaitu sejenis ubat allergik yang boleh membantu mengeringkan kahak. Bagaimanapun ubat dari jenis ini boleh menyebabkan anda mengantuk, oleh itu tidak sesuai untuk yang berkerja. Antara jenama yang selalu diberi ialah Benadryl (original) dan pelbagai jenama generik seperti Bena, Bencodyl dsb. Sila lihat generik.htm. Jenama lain yang juga popular ialah Actifed Expectorant dan Rhinathiol Promethazine.

Sekiranya ada jangkitan kuman bakteria, anda perlu mengambil antibiotik. Sila buat pemeriksaan lanjut dengan doktor anda. Sila lihat artikel penting di antibiotik.htm.


Batuk tidak berkahak

Batuk yang tidak berkahak dirasakan kering, gatal dan perit yang berlaku di bahagian tekak. Batuk jenis ini selalunya disebabkan oleh jangkitan virus. Ia selalunya akan pulih tanpa pengambilan ubat dalam masa seminggu. Pengambilan antibiotik tidak boleh membantu pesakit batuk jenis ini.

Pengambilan ubat perlu untuk mengawal rasa pedih yang dirasai. Antara jenama yang popular ialah Cofcare. Jenama yang lebih kuat pula boleh didapati di farmasi atau klinik. Pastikan anda dapatkan penerangan yang lengkap sebelum mengambilnya. Ubat batuk jenis yang tidak bekahak yang lebih kuat ini (ubat ini dikenali sebagai anti-tussive) adalah seperti codeine, pholcodine, dextromethorphan dan clobutinol.

Dextromethorphan boleh didapati dalam bentuk sirap, pil dan juga gula-gula untuk dikemam. Ia adalah antara jenis yang popular dan jenama yang ada termasuklah Actifed DM, Sedilix DM, Cofdex (pil), Tussil (gula-gula) dsb. Jenama Duro-tuss pula mengandungi pholcodine dan ia sesuai untuk pesakit kencing manis kerana ia tidak mengandungi gula. Pholcodine tidaklah menyebabkan ketagihan seperti codeine. Jenama yang mengandungi codeine hendaklah dijauhi sekiranya boleh kerana ada alternatif lain seperti yang dinyatakan di atas. Codeine boleh menyebabkan ketagihan. (Tambahan: Mulai tahun 2003, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengarahkan pembuatan ubat batuk yang mengandungi kodein (codeine) diberhentikan.)

Kesemua ubat di atas mungkin menyebabkan pengambilnya mengantuk dan khayal (codeine). Ubat yang mengandungi clobutinol seperti Silomat tidak menyebabkan rasa mengantuk.

Sekiranya anda merasa sakit tekak yang teruk, ubat seperti Dequadin, Strepsil dsb. boleh membantu. Untuk yang lebih kuat lagi, dapatkan dari farmasi atau klinik, seperti Difflam dan Strepsil Dual Action.


Perkara-perkara lain

Selain daripada pengambilan ubat, anda boleh juga lakukan langkah-langkah berikut ini:

* minum air suam atau panas dengan banyak. Ia membantu memecahkan dan membuang kahak.

* pengambilan bahan-bahan yang menambah lendir seperti bahan tenusu, daging, makanan segera, gula dan makanan manis, tepung putih dsb hendaklah dikurangkan.

* sekiranya anda merokok, mungkin inilah masa yang sesuai untuk terus berhenti merokok.

* persekitaran yang berhabuk, berasap toksik dan sebagainya boleh menyebabkan batuk. Oleh itu cuba jauhkan diri anda dari kawasan ini.

* sedut stim contohnya dari air yang mendidih. Ia membantu menghilangkan hidung yang tersumbat.

* hembus dengan kuat untuk membuang kahak dan hingus.


Selain itu, perkara-perkara ini haruslah diperhatikan:

* ada sesetengah ubat batuk yang didapati di farmasi dan klinik mengandungi pseudoephedrine, yang boleh menambah tekanan darah. Orang yang ada tekanan darah tinggi tidak digalakkan mengambil ubat jenis ini. Dapatkan penerangan lanjut dari farmasi atau klinik.

* kebanyakan persediaan adalah dalam bentuk sirap dan ia mengandungi gula. Pesakit kencing manis harus mengelakkan pengambilannya sekiranya boleh.

* sekiranya batuk anda tidak baik dalam masa seminggu, atau ada tanda-tanda yang lebih serius seperti batuk berdarah, rawatan lanjut diperlukan.

* batuk yang berlaku pada waktu malam sahaja (semasa baring sahaja) mungkin disebabkan oleh penyakit lain. Dapatkan rawatan selanjutnya.

Sumber: Farmasi Anis

5 comments:

Angin Selat Melaka said...

Assalamualaikum...
Pada sesiapa yang mempunyai gejala batuk2 yang terasa bagaikan ada habuk melekat kuat di kerongkongan, bolehlah cuba rawatan membuang lendir serta kahak di:

Ubat batuk berdarah atau kronik

Dengan melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai cara pem-banteras-'an'nya, akan membuatkan perjalanan lebih mudah.

nienaryonie said...
This comment has been removed by the author.
nienaryonie said...

assalamualaikum,
really nice to meet u..
actually nak share something,
lately,slalu sgt batuk secara tiba2..
batuk tak berterusan,tp kadang2..
batuk takla kuat sgt,skadar batuk kecil. tp pelik jugak batuk kecil beserta darah sekali..sometimes,
batuk kuat sampai package bleeding at hidung..apa sebenarnya yg saya sedang alamai? memandangkan situasi ini sesuatu yg baru dlm hidup sy..

nourulaida_mts04 said...
This comment has been removed by the author.
nourulaida_mts04 said...

Salam
Penyakit lain batuk pada waktu malam(baring) sahaja tu contoh dia apa ea?