Saturday, January 12, 2008

Kanser Paru-Paru


Insidens

Kanser paru-paru merupakan kanser yang paling kerap berlaku dan telah menyebabkan jumlah kematian yang paling ramai di Malaysia. Ia menyumbangkan lebih kurang 12% dari kesemua penyakit kanser dalam negara. Lebih kurang 18 daripada 100,000 penduduk mati disebabkan kanser ini. Setiap tahun lebih kurang 7000 kes baru kanser paru-paru dikesan.

Fakta-fakta mengenai Kanser Paru-Paru:

* Merupakan kanser yang paling kerap terjadi di seluruh dunia

*Kanser yang paling kerap terjadi di kalangan kaum lelaki di kebanyakan negara

* Kemandirian atau survival terhadap kanser paru-paru adalah buruk (hampir 10% dalam 5 tahun)

* Kanser paru-paru merupakan salah satu dari kesan-kesan utama yang disebabkan oleh rokok.

* Terdapat peningkatan insidens kanser paru-paru. Di Barat, insidens kanser paru-paru di kalangan wanita semakin meningkat kerana lebih ramai kaum wanita yang merokok, sebaliknya insidens di kalangan lelaki semakin menurun.

Tanda - tanda dan gejala

Gejala yang dialami adalah berbeza-beza. Ia bergantung sama ada tahap penyakit itu telah merebak ke tempat lain di dalam badan ataupun tidak. Kanser paru-paru boleh jadi asimptomatik (tanpa simptom yang jelas) terutamanya di peringkat awal penyakit. Ini menyukarkan usaha untuk mengesan lebih awal. Ia mungkin boleh dikesan secara tidak sengaja sewaktu pemeriksaan rutin apabila X-ray dilakukan. Di antara gejala yang utama adalah :

* Batuk
Batuk yang dialami biasanya adalah kronik dan kering. Kahak yang terhasil mungkin berdarah sedikit.

* Kesesakan nafas
Ini mungkin disebabkan oleh lumen bronkus tersumbat menyebabkan paru-paru rebah (collapse) atau tumor tersebut menekan saluran udara menjadikannya lebih sempit. Biasanya cecair boleh terbentuk di kaviti dada (efusi pleura) dan menyebabkan tekanan ke atas paru-paru.

* Sakit
Sakit dada, bahu dan sakit belakang disebabkan oleh tumor yang merebak ke tulang dan tisu berdekatan

* Bengkak muka
Disebabkan tumor menekan vena yang membekalkan darah ke bahagian dada

* Suara garau
Disebabkan saraf di kawasan dada ditekan dan menyebabkan kelumpuhan pada saraf laringeal

* Apabila kanser paru-paru telah merebak ke organ-organ yang lain, ia boleh menyebabkan:
o Sakit tulang
o Lemah atau kebas di kawasan tangan dan kaki
o Pening kepala
o Jaundis (warna kuning di kulit dan mata)
o Kehadiran jisim di kawasan berdekatan dengan permukaan tubuh yang disebabkan oleh sel-sel kanser telah merebak ke nodus limfa di leher atau berdekatan dengan tulang selangka.

Sumber: http://www.infosihat.gov.my/

0 comments: